anak melecur

Musim cuti sekolah memang masa yang menyeronokkan untuk keluarga. Ada pelbagai perkara selalu berlaku semasa cuti sekolah. Pecutian, kenduri-kendara, reunion, berkumpul bersama keluarga besar dan pelbagai lagi acara.  Bila sudah ramai, macam-macam kejadian boleh berlaku termasuklah kejadian tidak di ingini. Cerek air tergolek, seterika panas terbiar di lantai dan dicapai bayi merangkak, anak bermain di kawah menggelegak. Bermacam perkara yang jika difikirkan pelik, tapi ia pernah berlaku sebelum ini.

Nauzubillah minta dijauhkan. Semestinya kita sentiasa berhati-hati dan perlu sehabis baik mengelakkan kemalangan terjadi.  Tapi, penting untuk ibu bapa tahu bantuan kecemasan awal supaya situasi kemalangan berada dalam kawalan dan menjauhkan situasi yang lebih buruk dan mencemaskan.

Kali ini La Mamma ingin berkongsi tentang bantuan awal apabila bayi melecur.  Acapkali kita dengar bermacam petua yang perlu dibuat apabila kulit melecur. Dari sapu colgate hinggalah sapu minyak gamat. Tahukah anda, pertolongan awal apabila kejadian melecur berlaku boleh membantu menyelamatkan kulit daripada menjadi terlalu buruk?. Ikuti tips di bawah dan ingat apabila anda dapati bayi anda melecur..

TIPS 1: JANGAN PANIK

 

Apabila panik, anda tidak dapat mengawal keadaan. Anda perlu berada dalam keadaan sedar sepenunhnya.  Terima keadaan yang sedang berlaku.  Fahami situasi.  Tarik nafas panjang dan lepaskan.

TIPS 2: KETAHUI TAHAP LECURAN YANG BERLAKU

 

gred lecuran

 

Terdapat 3 gred lecuran dan mempunyai cara tangani yang berbeza. Tidak semua kes lecuran perlu rawatan kecemasan di hospital.  Jadi ibu bapa perlu kenali jenis lecuran yang berlaku.

Gred 1: Lecuran terhad pada epidermis (kulit paling luar). Nampak lecuran menjadi kemerahan dan mungkin terjadi kembung (blister). Lazimnya tidak perlu rawatan bahagian kecemasan hospital.  Tetapi jika lecuran meliputi 10% daripada bahagian badan anak, bawa juga untuk rawatan di hospital atau klinik.

Gred 2: Bahagian yang tercerdera adalah epidermis dan dermis (kulit bahagian dalam).  Bahagain kulit nampak melepuh, merah keputihan, dan kawasan kulit kering atau lembab dengan bendalir tisu. Perlu di bawa ke hospital.

Gred 3: Paling serius. Melibatkan keseluruhan lapisan kulit manusia. Bahagian yang cedera kering, berwarna putih, hitam, atau coklat gelap. Selalunya disebabkan kejutan elektrik atau bahan kimia.  Perlukan bantuan rawatan segera di hospital.

 

TIPS 3: LAKUKAN BANTUAN KECEMASAN

 

Berikan bantuan kecemasan awal kepada anak anda.

  1. Alihkan anak dari sumber kemalangan
  2. Buka baju anak yang terkena lecuran (jika berkaitan)
  3. Alirkan air paip pada bahagian melecur anggaran masa 3-5 minit.  Jika tiada, air botol juga boleh digunakan. Jangan gunakan ais kerana kulit melecur akan menjadi lebih teruk.
  4. Elakkan menyapu bahagian melecur dengan colgate, tepung, kicap atau bahan-bahan petua yang bukan-bukan.
  5. Jangan pecahkan blister atau kulit yang kembung.  Sapukan krim antibiotik. Berikan ubat penahan sakit jika perlu kepada anak anda.
  6. Jika melecur pada gred 2 atau 3, bawa segera ke hospital.
  7. Sapukan krim vitamin E atau aloe vera sebagai untuk membaiki kulit yang melecur.

 

Kulit yang melecur mengambil masa untuk pulih. Berikan sokongan kepada anak anda. Pastikan luka dibersihkan dan dikemaskan.  Ibu dan bapa perlu bekerja sama untuk memastikan kesihatan, kebersihan dan emosi masing-masing terpelihara.  Selamat bercuti kepada anda dan utamakan keselamatan!.

 

 

Suka artikel ini? Silakan KOMEN dan SHARE!