resepi lengkuas

Adakah semasa dalam pantang ibu tidak boleh makan sayur-sayuran?. Ramai yang skeptikal tentang sayur kerana takutkan ada masalah dan memberi kesan buruk pada tubuh ibu selepas bersalin.

 

Pemakanan dalam pantang sebenarnya bukanlah susah sangat. Di sebabkan perkataan berpantang itu sendiri nampak seperti negatif menyebabkan kita sungguh suka hendak melanggarnya. Ada ibu yang juga seorang doktor memberikan cadangan agar tempoh berpantang itu sendiri diubah kepada tempoh rehat, rawat dan pulih. Nampak lebih sedap dan positif. Jadi, secara automatik minda sedar ibu selepas bersalin akan disetkan untuk memelihara pemakanan untuk jadi sihat dan kembali seperti sedia kala.

 

Apabila menyebut tentang rawat dan pulih, sudah tentu perlu memilih makanan yang berkhasiat dan tidak menyakitkan badan. Kesan kepada badan seseorang tidak sama. Cuma, dari zaman berzaman, walau pun tiada tertulis satu manuskrip khas mahu pun kitab khusus yang muktabar, nenek moyang menurunkan dan mengajar dari mulut ke mulut, pengalaman mereka untuk menjadi panduan kepada anak cucu. Itulah yang digunakan sehingga sekarang. Namun, diperhalusi dan diperelokkan lagi dengan ilmu sains fisiologi tubuh manusia.

 

Hasilnya, beberapa senarai sayuran yang tidak sesuai untuk badan ketika tempoh pemulihan pun terhasil. Sebenarnya, ia bukan sahaja untuk ibu selepas bersalin, tapi terpakai juga kepada sesiapa yang berada dalam tempoh pemulihan badan.

10 SAYUR ELAK DIMAKAN SEMASA BERPANTANG

Senarai sayuran ini diceritakan boleh menyebabkan bentan dan bisa pada sendi. Selain itu, untuk individu yang bukan dikalangan ibu berpantang, sayuran ini juga dipercayai menjadi penyebab kepada masalah berkaitan sendi seperti arthritis, rheumatoid arthritis, reumatisme  dan osteoarthritis dalam jangka masa panjang.

Antara sayur-sayuran yang berangin dan sejuk ialah seperti berikut;

  • Kubis
  • Bayam, terung,
  • Kacang panjang
  • Labu (semua jenis)
  • Tauge
  • Mentimun
  • Bunga kubis
  • Petola
  • Petai dan jering
  • Kangkung

Paling popular yang menjadi taboo bagi ibu berpantang adalah sayuran menjalar. Ini kerana sayuran yang tumbuh secara menjalar ni boleh menyebabkan ibu kembung, lemah sendi dan sejuk pada otot. Contoh sayuran menjalar seperti pucuk ubi, petola, kangkung, timun, rebung, labu, bayam, terung, petai, sayuran kekacang dan petai.

 

RESEPI MASAKAN SAYURAN BERHERBA 

 

LENGKUAS MUDA MASAK LADA MERAH

(Resepi ini elok untuk kesihatan rahim wanita).

Bahannya:

Lengkuas muda
Ikan bilis
Bawang merah
Bawang Putih
Lada merah segar

Caranya :

Lengkuas muda dihiris nipis dan direbus sehingga air kering. Ini caranya untuk menghilangkan rasa pahit lengkuas tadi.
Tumiskan lada, ikan bilis, bawang merah dan bawang putih yang sudah siap ditumbuk. Gunakan sedikit minyak sahaja.
Masukkan lengkuas muda yang telah siap direbus diawalnya dan perasakan dengan garam.

Hidangkan dan makan dengan nasi panas dengan sumber protein yang anda pilih.

 

Selamat mencuba!.

 

 

Suka artikel ini? Silakan KOMEN dan SHARE!