Isu penyusuan anak sangat meluas. Antara yang dibincangkan adalah tentang ibu susuan, penyusuan anak angkat, penggunaan ubat untuk mengeluarkan susu dan tidak terkecuali tempoh menyusu.

Ada yang mengatakan untuk menyusukan bayi, cukup sampai 6 bulan sahaja. Ada juga yang menyusukan anak sampai 6 bulan dan kemudian disambung sehingga 2 tahun dengan penambahan makanan pejal. Serta terdapat pula yang menyusukan bayinya 2 tahun penuh tanpa tambahan makanan pejal.

Persoalannya apa yang sesuai dari segi kesihatan dan juga mematuhi hukum agama.

 

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 233:

 

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ

وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَلِكَ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَنْ تَرَاضٍ مِنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan waris pun berkewajipan demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya.” (Al-Baqarah : 233]

 

Panduan telah diberikan melalui firman Allah Ta’ala. Tempoh penyusuan yang sempurna dan terbaik adalah sehingga umur 2 tahun. Kemudian dilanjutkan lagi dengan ilmu fiqh berkenaan penyucian najis kanak-kanak lelaki dan bezanya dengan penyucian najis kanak-kanak perempuan yang belum cukup umur 2 tahun.

 

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam  bersabda,

 

Hadis pertama:

يُغْسَلُ مِنْ بَوْلِ الْجَارِيَةِ، ويُرَشُّ مِنْ بَوْلِ الغُلامِ

“Kencing bayi perempuan dicuci (dibilas) dan kencing bayi laki-laki cukup dipercikkan saja dengan air.”[1]

 

Hadis kedua:

عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبَرِّكُ عَلَيْهِمْ وَيُحَنِّكُهُمْ فَأُتِيَ بِصَبِيٍّ [يَرْضَعُ] فَبَالَ عَلَيْهِ (وَفِيْ رِوَيَةٍ : فَبَالَ فِي حَِجْرِهِ) (وَفِيْ رِوَيَةٍ : فَبَالَ عَلَى ثَوْبِهِ) فَدَعَا بِمَاءٍ فَأَتْبَعَهُ بَوْلَهُ وَلَمْ يَغْسِلْهُ *

Dari ‘Aisyah isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam (ia berkata): “Bahawasanya pernah dibawa kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam beberapa anak laki-laki, kemudian Beliau mendoakan keberkahan atas mereka dan mentahnik mereka. Lalu dibawa kepada Beliau seorang anak laki-laki yang masih menyusu, lalu anak itu mengencingi Beliau.” Dalam riwayat yang lain: Lalu anak itu kencing di pangkuan Beliau. Dalam riwayat yang lain: Lalu anak itu mengencingi pakaian Beliau. Kemudian Beliau meminta air, lalu Beliau memercikkan kencing bayi laki-laki itu dan Beliau tidak mencucinya.”[2]

 

Jelas daripada kedua hadis tadi, air kencing kanak-kanak lelaki yang belum cukup umur 2 tahun dan tidak makan selain daripada susu ibunya saja, dikira sebagai najis ringan dan hanya cukup sekadar memercikkan air ke tempat kena najis. Berbanding kanak-kanak perempuan yang perlu di cuci.

 

Daripada firman Allah Ta’ala dan kedua hadis itu juga menunjukkan, tidaklah menjadi kewajipan untuk bayi disusukan dengan susu ibu sepenuhnya kerana ada konsep musyawarah dan perbincangan bersama pasangan masing-masing. Dan bukan pula menjadi kesalahan untuk ibu dan ayahnya untuk menyusukan bayi tanpa apa-apa makanan pelengkap, kerana jika menjadi kesalahan dan memberi mudharat, sudah tentu dilarang oleh Rasulullah Sallallahu a’laihi Wasalam.

 

Masalah penyusuan bukanlah satu topik yang berkaitan dengan ibadah dan tauhid kepada Allah, juga tiada hukum wajib atau sunat. Ulamak menyerahkan perbincangan ini kepada yang lebih ahli iaitu doktor.  Mengikut pendapat pakar perubatan, waktu yang sesuai untuk memberikan makanan pelengkap adalah bermula 6 bulan.  Tempoh ini dijelaskan berdasarkan keperluan nutrisi anak yang semakin meningkat dan kekurangan nutrisi zat besi dalam susu ibu.

 

Kesimpulannya penyusuan bayi tanpa tambahan makanan pelengkap sehingga berumur 2 tahun adalah pilihan ibu dan bapa yang menjaganya.Pilihan ini hendaklah disokong dengan status kesihatan bayi supaya tidak menzalimi kesihatan pihak ibu yang memberi susu dan juga bayinya.

 

 

1]  Diriwayatkan oleh Abu Dawud, Nasa-i dan telah di-shahih-kan oleh Al Hakim, takrij hadits Hasan lighairihi

[2] HR. Bukhari (no. 222, 5.468, 6.002, 6.355), Muslim (I/163-164), Nasa-i (I/157), Ibnu Majah (no. 523), Ahmad (VI/ 46)

https://muslimafiyah.com/asi-eksklusif-selama-dua-tahun-dalam-ajaran-islam.html

 

 

Suka artikel ini? Silakan KOMEN dan SHARE!