Solat Ibu Hamil

Masuk trimester ketiga kandungan, badan semakin berat. Kaki pula makin nampak membengkak. Ada yang mula terasa sakit memberat di ari-ari. Kuatnya seorang ibu sanggup melalui pelbagai ujian susah payah mengandungkan anak dalam rahim.  Namun. Apa yang lebih meyakinkan ibu menempuh ranjau ini adalah kasih sayang dari Allah AzzaWajalla.

 

Kasih sayang dari Allah ini juga memberikan keringanan kepada ibu yang hamil. Di antaranya adalah keringanan untuk menunaikan solat dengan keadaan duduk.  Walau bagaimanapun, keringanan ini mempunyai cara dan syaratnya. Apakah dia?

 

#1 Hanya boleh solat duduk apabila benar-benar tidak mampu untuk solat berdiri. Ibu hendaklah mencuba sedaya upaya terlebih dahulu untuk solat berdiri. Bukan terus membuat keputusan untuk duduk dan solat selepas mengetahui tentang keringan ini.

 

#2 Mulakan tabiratul ihram dalam keadaan berdiri jika mampu. Walau pun ibu telah yakin perlu bersolat dalam keadaan duduk, ibu cubalah untuk mengangkat takbir dalam keadaan berdiri. Kemudian duduklah dan bersolat mengikut tatacara solat sambil duduk.

 

#3 Utamakan bersujud dengan menyentuhkan dahi ke tempat sujud. Ini lebih afdhal. Apabila ibu rasa sukar untuk bangun selepas duduk dan bangkit sujud, terus saja solat duduk di lantai, berbanding duduk di atas kerusi. Doa ketika sujud merupakan salah satu waktu yang doanya makbul. Jadi usahakan untuk sujud dengan menyentuhkan dahi di tempat sujud. Tetapi jika tidak mampu kerana kekangan perut yang semakin memberat dan membesar, cukuplah dengan mengisyaratkan dengan menundukkan kepala, lebih rendah daripada rukuk.

 

#4 Mesti memenuhi semua rukun dan syarat sah solat kecuali berdiri. Walaupun ibu solat secara duduk, setiap rukun dan syarat sah solat masih lagi sama seperti biasa. Contohnya, aurat masih perlu dijaga dan perlu ditutup dengan sempurna. Begitu juga syarat dan rukun yang lain.

 

#5 Adakalanya ibu boleh solat berdiri. Tetapi terasa sakit akibat kontraksi yang berlaku. Ibu boleh teruskan solat secara duduk. Kemudian, bila ibu rasa sudah mampu untuk kembali berdiri, solatlah dengan cara berdiri. Sesungguhnya Allah memandang segala usaha yang dilakukan oleh makhluknya.

 

Kredit: JAKIM

Suka artikel ini? Silakan KOMEN dan SHARE!